8 April 2014

TERANGKAN PERANAN DAN KEPENTINGAN BAITULMAL DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA ISLAM.


Baitulmal merupakan institusi kewangan atau perbendaharaan negara yang ditubuhkan secara rasmi oleh Khalifah Umar al-Khattab. Baitulmal berfungsi menyelenggarakan harta negara atau tempat untuk menyimpan barangan berharga. Baitulmal ditubuhkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW tetapi berfungsi dalam bentuk yang mudah kerana pendapatan negara tidak begitu banyak dan baginda tidak gemar menyimpan barang-barang berharga. Semua hasil pendapatan diagih-agihkan kepada golongan yang berhak. Keadaan ini wujud juga pada masa Khalifah Abu Bakar tetapi masih pada peringkat awal. Pada zaman khalifah Umar al-Khattab, negara Islam berkembang dan banyak wilayah baharu dibuka seperti wilayabaharu dibuka seperti wilayah Iraq, Syria,
dan Mesir. Peranan institusi baitulmal bertambah akibat kejayaan ekspedisi ketenteraan. Antara sumber-sumber baitulmal ialah fay, ghanimah, zakat, jizyah, kharaj dan usyur.

Kepentingan baitulmal adalah untuk membasmikan kemiskinan. Tujuan ini boleh dicapai melalui sumber zakat. Zakat dibahagikan kepada zakat fitrah dan zakat harta. Zakat diagih-agihkan kepada lapan golongan asnaf, iaitu orang fakir, orang miskin, orang yang berhutang, orang yang berjihad, amil dan sebagainya. Denagn zakat, masalah golongan ini dapat dikurangkan dan mengembirakan hati orang yang menerimanya. Pengeluaran zakat boleh menyucikan hati orang yang memberikan zakat daripada sifat tercela. Apabila kemiskinan dapat dibasmi secara langsung dapat mengurangkan jurang sosial lalu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmonis.

Selain itu, kepentingan baitulmal bertujuan menyediakan keperluan-keperluan asas. Pemerintahan kerajaan Islam menggunakan harta baitulmal untuk menyediakan kemudahan asas seperti masjid, jalan raya, hospital, rumah tumpangan dan sebagainya. Khalifah juga harus menggunakan harta negara untuk meningkatkan aktiviti ekonomi. Terusan dan sistem pengairan dibina untuk meningkatkan produktiviti hasil pertanian. Kemudahan-kemudahan ini harus disediakan sebagai tanggungjawab social seorang khalifah. Khalifah juga harus menggunakan harta baitulmal untuk menjaga kebajikan sosial masyarakat di bawah pentadbirannya.

Selain itu, baitulmal memainkan peranan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam. Salah satu cara untuk meningkatkan taraf hidup adalah melalui pendidikan. Sumber baitulmal boleh digunakan oleh khalifah untuk membina institusi pendidikan seperti sekolah, madrasah, kolej dan universiti. Selain itu, pelajar-pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan boleh diberi bagi mendalami ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang keagamaan. Bantuan kewangan diberi kepada golongan yang ingin meningkatkan pendapatan melalui aktiviti perdangangan dan pertanian. Bantuan dari baitulmal ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi juga membangunkan ekonomi.

Di samping itu, baitulmal berperanan untuk membayar gaji pegawai kerajaan dan anggota tentera. Khalifah Umar al-Khattab telah menubuhkan pasukan tentera tetap dan melarang mereka memiliki tanah rampasan perang. Tanah-tanah sawafi, iaitu tanah tidak bertuan diamanahkan kepada golongan Ahl al-Ayyam untuk diusahakan dan pegawai-pegawai kerajaan dilantik untuk melicinkan pentadbiran empayar Islam. Kedua-dua golongan ini dibayar gaji tetap untuk mengelakkan perselisihan faham yang boleh mengancam kestabilan politik. Wang baitulmal boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan negara.

Baitulmal juga berperanan untuk menjaga harta yang diwakafkan. Biasanya harta individu yang meninggal dunia tanpa waris diwakafkan kepada baitulmal. Baitulmal menjadi pemegang amanah kepada harta ini kerana baitulmal berperanan menjaga segala harta negara.

Kesimpulannya, baitulmal menjamin pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup umat Islam serta menjaga keharmonian negara. Baitulmal dianggap sebagai amanah Allah SWT untuk kebajikan masyarakat.


3 ulasan:

Unknown berkata...

Tq. Ini sngat mmbntu

Elya Rosly berkata...

sama2...

Q_1607 berkata...

thanks untk penerangan yg sgt brguna . amat membantu kami yg mahu mnjawab soalan KBAT . doakan kejayaan Kami untk Exam PT3 2015 ye :)