Pengenalan:
Zaman jahiliah berlangsung selama
kira-kira 300 tahun di Semenanjung Tanah Arab. Zaman ini bermula setelah
runtuhnya Empangan Maarib dalam kerajaan Saba’ pada sekitar tahun 300M dan
berakhir setelah turunnya al Quran serta
Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w.
sebagai Rasul pada tahun 610M.
sebagai Rasul pada tahun 610M.
Isi:
Struktur sosial masyarakat
jahiliah adalah berasaskan sistem kabilah. Kabilah terbentuk daripada beberapa keluarga
yang membentuk ihai, beberapa ihai bergabung membentuk kaum dan beberapa kaum
bergabung mewujudkan kabilah. Dari segi akhlak, masyarakat jahiliah sangat
rendah moralnya. Kaum wanita dipandang rendah sehingga amalan menanam bayi
perempuan hidup-hidup menjadi kebiasaan. Kaum wanita dianggap sebagai pembawa
sial dan hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu. Golongan hamba pula dianggap
golongan bawahan dan dijadikan sebagai barang dagangan. Walau bagaimanapun,
terdapat juga sifat positif yang diamalkan oleh masyarakat jahiliah iaitu
pemurah, berani, menghormati tetamu dan berpegang teguh kepada janji.
Dari aspek
politik pula, masyarakat jahiliah tidak mempunyai struktur politik yang
sistematik. Masyarakat jahiliah hidup berasaskan kabilah. Setiap kabilah diketuai oleh seorang syeikh
iaitu individu yang sangat dihormati. Walaupun mempunyai ketua tetapi setiap
keputusan bergantung kepada ketetapan bersama. Kabilah-kabilah ini kental
dengan semangat asabiyah iaitu sikap kesukuan dan bermegah dengan kabilahnya.
Semangat asabiyah ini kerap menimbulkan persengketaan dan peperangan antara
kabilah.
Dalam bidang
ekonomi pula, kegiatan pertanian, penternakan dan perdagangan
menjadi sumber utama. Kegiatan pertanian dan penternakan biasanya dijalankan
oleh masyarakat Arab Badwi yang
kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, kegiatan
pertanian dan penternakan ini sukar berkembang pesat kerana cara hidup
berpindah-randah yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi. Masyarakat Arab
Hadari yang majoritinya tinggal di kawasan bandar terlibat dengan ekonomi
perdagangan. Perdagangan dijalankan secara sistem barter. Amalan riba dan
penipuan berlaku secara meluas.
Dari aspek agama
dan kepercayaan, masyarakat jahiliah mengamalkan pelbagai jenis agama
dan kepercayaan. Sebahagian besar daripada masyarakat jahiliah mengamalkan agama Wathani iaitu menyembah
berhala. Antara berhala yang terkenal ialah al-Uzza, al-Lata dan al-Manat yang
dianggap mempunyai kuasa. Selain itu, terdapat juga masyarakat jahiliah yang
menganut agama Kristian dan Yahudi. Walau bagaimanapun, agama Kristianyang
diturunkan bersama kitab suci Injil telah diselewengkan. Masyarakat jahiliah
turut menganut agama seperti Majusi, Hanif
sereta mengamalkan kepercayaan karut atau khurafat seperti memuja kubur,
pokok bukit dan sebagainya.
Dari aspek ilmu
pengetahuan pula, masyarakat jahiliah dianggap masyarakat yang tidak
memiliki ilmu pengetahuan tinggi. Hal ini dibuktikan melalui kegagalan mereka
mendirikan semula Empangan Maarib yang telah pecah. Selain itu, bilangan
masyarakat jahiliah yang celik huruf amat sedikit iaitu seramai 17 orang
sahaja. Ilmu hanya disampaikan secara lisan dan hafalan. Oleh itu, ilmu akan
hilang apabila penghafal tersebut meninggal dunia. Walau bagaimanapun, masyarakat
jahiliah berpengetahuan dalam bidang kesusasteraan. Mereka mahir bersajak,
bersyair dan berkhutbah. Labid dan Tarafa merupakan antara tokoh sastera
yang terkenal.
Kesimpulan:
Secara umumnya, zaman jahiliah
merupakan zaman kegelapan dalam masyarakat di Semenanjung Tanah Arab. Hal ini
ditandai kemunduran yang dialami oleh masyarakat Arab sama ada dari segi
sosial, politik, agama, ekonomi dan ilmu pengetahuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan