Nama sebenar Ibn Khaldun ialah Abdul ar-Rahman bin
Muhammad bin Khaldun al-Hadrami. Beliau dilahirkan di Tunisia pada tahun 1331
M.. Beliau seorang yang pakar dalam ilmu agama seperti fikah, tafsir dan hadis.
Dari aspek ilmu aqli, beliau pakar dalam bidang falsafah, matematik dan
sejarah. Beliau pernah memegang jawatan tinggi seperti Ahli Persuratan di
Istana Faz dan menjadi Hajib di Bougie. Beliau juga pernah dilantik sebagai
Hakim Mahkamah-mahkamah Raja di Mesir. Ketokohan beliau disanjung oleh
tokoh-tokoh dan sarjana Barat. Toynbee dan R. Nicholson menganggap beliau
sebagai ahli fikir dan tokoh yang tiada tolok bandingnya. G. Sarton menyatakan
bahawa Ibn Khaldun merupakan ahli sejarah dan falsafah yang agung sepanjang
zaman. Karya-karya yang dihasilkan oleh beliau adalah himpunan daripada
pembelajaran dan pengalaman yang diperolehnya.
Sumbangan utama beliau ialah Kitab Al-Ibar yang merupakan ensiklopedia sintesis tentang
metodologi sains kebudayaan. Kitab ini banyak membantu ahli-ahli sejarah
menghasilkan karya atau kajian yang benar dan berbentuk ilmiah. Kitab tersebut
dibahagikan kepada tiga bab dan diasingkan dalam tujuh jilid yang terdiri
daripada bahagian asasi dan falsafah sejarah dan sains sosial.
Bahagian pengenalan kepada kitab ini dinamakan nama Muqaddimah Ibn Khaldun setebal 700 muka
surat yang membahaskan isu-isu tentang sejarah dan pensejarahan. Dalam
pendahuluan, beliau membincangkan aspek sejarah, tema-tema dan juga kesalahan
dalam meriwayatkan peristiwa sejarah. Kitab ini dianggap sebagai suatu
sumbangan agung dalam bidang persejarahan kerana cuba memahami pola perubahan
kepada organisasi politik dan sosial manusia. Kitab ini turut menjelaskan peristiwa
sejarah harus dikaji dan difahami.
Ibn Khaldun juga memberikan sumbangan dalam pengkajian
sejarah. Beliau mengutarakan beberapa konsep dan prinsip pengkajian sejarah.
Beliau menekankan konsep sejarah yang merangkumi keseluruhan kegiatan manusia.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa beliau telah meluaskan ruang lingkup kajian
sejarah, iaitu aspek geografi dan sosiologi. Antara prinsip utama yang beliau
kemukakan ialah prinsip hubungan antara sebab dan akibat. Maka pada dasarnya
sejarah manusia ditentukan oleh manusia sendiri kecuali jika melanggar hukum
Tuhan.
Ibn Khaldun merupakan sejarawan pertama yang mengkaji
sejarah dari aspek sosiologi. Beliau menggunakan pendekatan ini untuk
mengumpulkan maklumat berhubung dengan kehidupan sosial umat Islam. Menurut beliau,
sejarah menentukan peristiwa-peristiwa luaran manakala ilmu sosiologi
menerangkan aspek dalaman, iaitu sifat-sifat semula jadi. Kaedah penyelidikan
beliau mirip kepada kaedah sosiologi menghasilkan sejarah khas yang mengandungi
dua kualiti, iaitu zahir dan batin. Dalam aspek batinnya, beliau dapat
memberikan penjelasan dan pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu peristiwa
dan sebabnya.
Ibn Khaldun juga memberikan sumbangan dalam bidang
teori dan pendekatan sejarah. Beliau telah memperkenalkan pendekatan multi disciplinary dalam pengkajian
sejarah. Beliau menggunakan disiplin lain seperti geografi dan sosiologi dalam
kajian beliau. Penggabungan ilmu atau disiplin ini membantu dalam memberikan
satu penilaian yang kritis terhadap peristiwa sejarah.
Ibn Khaldun merupakan seorang tokoh sejarah yang dapat menjelaskan sebab ahli-ahli sejarah sering bersikap berat sebelah dan tidak ada
tafsiran yang jujur. Antara alasan beliau ialah wujud semangat kepartian yang
menghalang pertimbangan yang waras. Selain itu, kegagalan dalam memahami sumber
kerana tidak mengesahkan sumber tersebut. Seterusnya ialah kegagalan untuk
menempatkan sesuatu kejadian dalam hubungan yang sebenar.
Kesimpulannya, ketokohan Ibn Khaldun dalam bidang
pensejarahan tidak dapat dinafikan. Hasil karyanya memberikan sumbangan besar
kepada peradaban manusia. Beliau meletakkan asas bagi perkembangan sejarah
bercorak saintifik.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan