8 April 2014

TERANGKAN PERKEMBANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN DI ACHEH PADA ABAD KE-17.

          Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis pada tahun 1511, Acheh mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat perdagangan di Alam Melayu. Acheh turut memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama Islam utama di Nusantara. Pada abad ke-16, Acheh diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Pendidikan Islam di Acheh pada masa ini berkembang pesat sehingga Acheh digelar sebagai serambi Makkah.
Acheh mempunyai sistem pendidikan tersusun dan terancang. Institusi pendidikan ini dibahagikan kepada beberapa tahap dan peringkat meunasah (rendah), rangkang (menengah) hingga ke Jamiah Baiturrahman (universiti).

          Institusi pendidikan permulaan ialah meunasah atau madrasah. Meunasah didirikan di setiap kampung. Para pelajar diajar membaca Al-Quran, membaca dan menulis huruf Arabserta belajar perkara-perkara asas dalam Islam. Selain itu, pelajar turut mempelajari ilmu fardhu ain seperti Rukun Iman, Rukun Islam, fiqah, ibadat dan akhlak. Para pelajar di peringkat ini juga dilatih bernasyid pada setiap malam Jumaat. Anak-anak yang khatam Al-Quran diajar beberapa kitab agama yang ditulis dalam bahasa Melayu seperti kitab Perukunan. Sejarah Islam juga diajar dengan cara bercerita.
          Satu lagi institusi pendidikan ialah masjid. Masjid-masjid yang didirikan di setiap mukim merupakan pusat segala kegiatan umat Islamtermasuk pendidikan. Tahap pendidikan di masjid bersangkutan dengan pendidikan peringkat menengah yang pertama. Pada zaman kerajaan Acheh, terdpat masjid yang dinaiktarafkan menjadi pusat pendidikan tinggi seperti Masjid Baiturrahman.
          Pada masa ini juga terdapat pondok-pondok di sekeliling masjid. Pelajar-pelajar yang ingin menuntut pelbagai ilmu tinggal di sini. Pondok-pondok ini menjadi asrama yang dikenali sebagai rangkang. Rangkang dianggap sebagai pendidikan menengah yang menyampaikan pelbagai disiplin ilmu agama dan pelajaran umum. Tahap rangkang bergantung kepada tahap ilmu yang dimiliki oleh guru yang mengajar. Pelajar-pelajar yang pintar berpindah dari satu rangkang ke rangkang lain untuk menuntut ilmu daripada guru yang lebih mahir.
          Banyak ulama yang terkenal dari luar negara datang mengajar di rangkang dan pelajar-pelajar  juga berasal dari pelbagai daerah. Antara mata pelajaran yang diajar ialah ilmu fiqah, tasawuf, tajwid, tauhid, ibadat, sejarah dunia, bahasa arab dan sebagainya. Ilmu umum yang diajar adalah sejarah, geografi dan matematik.  Buku-buku rujukan yang digunakan adalah dalam bahasa Melayu. Para pelajar yang telah tamat pengajian kemudian melanjutkan pelajran ke rangkang yang terkenal terletak di Bandar Aheh Darussalam.
          Institusi pendidikan Islam yang lain ialah sistem pendidikan peringkat menengah atas, iaitu dayah. Dayah didirikan di setiap daerah Nanggore. Kebanyakan dayah terdapat di luar lingkungan masjid. Terdapat sebuah balai utama yang berfungsi sebagai tempat belajar solat. Semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Arab dengan menggunakan kitab-kitab dari Arab. Antara ilmu yang diajar ialah tauhid, fiqah muamalat, tasawuf, akhlak dan sebagainya.
          Pendidikan di dayah dibahagikan kepada dua, iaitu pendidikan umum dan pendidikan khusus. Dayah bersifat khusus adalah untuk kaum wanita sahaja. Dayah khusus ini menyampaikan ilmu dalam bidang pertanian, pertukangan dan perniagaan yang menurut Islam. Antara dayah yang terkenal di Acheh ialah Dayah Cot Kala, Dayah Rumpet Dayah Tengku Chik.
          Institusi pendidikan tahap tertinggi, iaitu peringkat universiti ialah pendidikan di Jamiah Baiturrahman. Pada zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Masjid Baiturrahman dinaikkan taraf dan statusnya sebagai sebagai sebuah universiti. Tempat ini digunakan semata-mata untuk menuntut ilmu sahaja. Terdapat 17 dar (fakulti) seperti Fakulti Ilmu Tafsir dan Hadis, Fakulti Kedoktoran dan sebagainya. Para pengajar terdiri daripada ulama atau sarjana dari Acheh dan negara-negara lain seperti Arab, Turki dan Parsi.
          Kewujudan sistem pendidikan dengan institusi pendidikan yang teratur melahirkan golongan ulama dan cerdik pandai seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Shamsudin al-Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel. Perkembangan pesat pendidikan Islam menjadikan Acheh dikenali sebagai Serambi Makkah pada abad ke-17.
 


Tiada ulasan: